[Topik Lisan] The Dog: Hentikan Buli Siber Sekarang Juga!

RINGKASAN:

Pelajaran ini bersekitar mengenai sebuah filem pendek bertajuk The Dog yang menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan buli siber yang diketengahkan secara simbolik. Filem pendek ini merupakan hasil kerja sekumpulan pelajar dari sekolah kami yang berjaya mendapat hadiah Perak dalam pertandingan SDMA 2017.

Pelajar: Menengah atas
Masa: 60 minit
Aktiviti: Menonton filem pendek, memberikan pendapat dan membedah teknik penyampaian mesej secara simbolik dalam penceritaan
Topik: The Dog: Hentikan Buli Siber Sekarang Juga!
Bahasa: Kosa kata berkait dengan topik
Bahan: Filem pendek

LANGKAH PERTAMA:

Guru minta pelajar memikirkan soalan-soalan berikut:

Pernahkah kamu mendengar perkataan ini: metafora (atau metaphor dalam Bahasa Inggeris)?

Pernahkah kamu mempelajari mengenai metafora dalam pelajaran Bahasa Inggeris atau Sastera Inggeris (literature)?

Apakah yang kamu tahu tentang metafora?

Guru mengundang beberapa orang pelajar untuk memberikan jawapan kepada soalan terakhir sebelum menerangkan bahawa metafora adalah kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan berkenaan. Terangkan juga bahawa metafora digunakan sebagai perbandingan atau kiasan.

LANGKAH KEDUA

Guru melanjutkan pelajaran dengan menanyakan pelajar pernahkah mereka melihat penggunaan metafora dalam sesebuah filem.

Guru menayangkan iklan pendek mengenai penderaan binatang berikut selepas bertanya soalan-soalan berikut:

Apakah satu metafora yang kamu lihat dalam iklan ini?

Apakah maksud yang lain daripada maksud biasa yang ingin disampaikan oleh metafora tersebut dalam iklan ini?

Guru menjemput beberapa orang pelajar untuk memberikan jawapan.
Jawapan:
a) Anak kecil di akhir iklan (metafora).
b) Metafora ini menunjukkan bahawa haiwan peliharaan harus dianggap seperti sebahagian daripada ahli keluarga yang kecil dan harus dijaga dengan penuh kasih sayang (maksud metafora).

LANGKAH KETIGA

Guru beritahu pelajar yang beliau akan menanyangkan sebuah filem pendek dan minta mereka memikirkan soalan-soalan di bawah sambil mereka menonton filem tersebut.

Apakah satu metafora yang kamu lihat dalam filem pendek ini?

Apakah maksud yang lain daripada maksud biasa yang ingin disampaikan oleh metafora tersebut dalam iklan ini?

Guru menjemput beberapa orang pelajar untuk memberikan jawapan.
Jawapan:
a) ‘Anjing terbiar’ (metafora).
b) Metafora ini menunjukkan bahawa mangsa buli siber rasakan diri mereka tidak dihormati dan dilayan sewenangnya (maksud metafora).

LANGKAH KEEMPAT

Guru menanyakan pelajar apakah perkara-perkara yang berkaitan dengan buli siber yang mereka tahu sebelum menanyangkan perkara-perkara berikut di dalam bentuk slaid:

  1. Mangsa tidak mengenali para pembuli.
  2. Biasanya bilangan pembuli siber hanyalah kecil; beberapa orang yang sama sahaja tetapi gambaran yang diberikan mereka adalah bilangan mereka ramai.
  3. Orang dewasa tidak dapat mengenal pasti jika remaja di bawah penjagaan mereka sedang dibuli siber.
  4. Pelajar lain yang tahu mangsa sedang dibuli siber hanya membisu kerana tidak mahu masuk campur.
  5. Tindakan mereka ini menyebabkan pembuli siber menjadi lebih berani.

LANGKAH KELIMA

Guru membentuk beberapa kumpulan pelajar dan membahagikan perkara-perkara di atas di kalangan mereka.

Guru menanyangkan filem pendek itu sekali lagi dan meminta setiap kumpulan untuk mengenal pasti metafora-metafora dalam filem yang menerangkan perkara-perkara di atas. Setiap kumpulan boleh dberikan 1-2 perkara.

Guru meminta setiap kumpulan untuk berkongsi pilihan mereka dan menjelaskannya.

LANGKAH KEENAM

Guru menunjukkan pilihan beliau (di bawah dalam bentuk slaid) dan menjelaskannya.

  1. Mangsa tidak mengenali para pembuli.
    Jawapan:
    a) Para pembuli hanya dirakamkan dari paras pinggang ke bawah (metafora; 0:32-0:53).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa mangsa tidak mengenali siapakah yang telah membuli mereka di alam siber (maksud metafora).
  2. Biasanya bilangan pembuli siber hanyalah kecil; beberapa orang yang sama sahaja tetapi gambaran yang diberikan mereka adalah bilangan mereka ramai.
    Jawapan:
    a) Hanya lima orang pembuli sahaja dan mereka muncul di tiga situasi (metafora; 0:32; 1:11; 1:47).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa hanya orang yang sama sahaja membuli mangsa walaupun mereka cuba menunjukkan bahawa ramai tidak menyukai mangsa (maksud metafora).
  3. Orang dewasa tidak dapat mengenal pasti jika remaja di bawah penjagaan mereka sedang dibuli siber.
    Jawapan:
    a) Pengawal sekolah di pondok kawalan (metafora; 0:13).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa ‘anjing terbiar’ itu (mangsa buli siber) mampu masuk ke dalam kawasan sekolah dengan mudah tanpa sebarang pengawal sekolah yang mencegahnya (tidak tahu mangsa dibuli) (maksud metafora).
  4. Pelajar lain yang tahu mangsa sedang dibuli siber hanya membisu kerana tidak mahu masuk campur.
    Jawapan:
    a) Para pelajar yang berada berdekatan dengan mangsa ketika ia menuju ke tandas dan mereka menghilangkan diri setelah mangsa keluar dari tandas untuk menyelamatkan diri dari terus diganggu (metafora; 1:33-1:39; 1:57-1:59).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa pelajar lain yang tahu mangsa sedang dibuli siber hanya membisu kerana tidak mahu masuk campur (maksud metafora).
  5. Tindakan mereka ini menyebabkan pembuli siber menjadi lebih berani.
    Jawapan:
    a) Para pembuli mengejar mangsa untuk mencederakannya (metafora; 2:00-hingga akhir).
    b) Metafora ini menunjukkan bahawa para pembuli semakin bertindak berani kerana pelajar lain tidak mahu masuk campur dengan menghilangkan diri (maksud metafora).

LANGKAH KETUJUH

Guru meminta setiap kumpulan untuk membayangkan diri mereka sebagai produser sebuah filem pendek. Mereka diminta untuk memikirkan bagaimana mesej cerita dalam filem pendek yang ditayangkan tadi serta perkara-perkara yang berkaitan dengan buli siber dapat diketengahkan menggunakan metafora-metafora lain dalam sebuah filem pendek yang baru.

Setiap kumpulan diminta untuk berkongsi hasil perbincangan mereka.

LANGKAH KELAPAN

Guru merumuskan pelajaran dengan menekankan peri pentingnya untuk pelajar menunjukkan sifat empati dengan:
a) tidak melibatkan diri dalam buli siber dan
b) melaporkan kepada guru jika mereka mengetahui akan sebarang kegiatan buli siber melibatkan diri mereka (sebagai mangsa) dan rakan-rakan sekolah mereka (sebagai mangsa atau pembuli).

Guru juga menekankan penggunaan metafora dalam penceritaan supaya pelajar menghargai teknik penyampaian mesej cerita secara simbolik.

SEMOGA PELAJAR CIKGU SERONOK MENGIKUTI PELAJARAN INI.

Advertisements

[Topik Lisan] Haru Urara: Bila Kegagalan Merupakan Kejayaan

Haru Urara: Bila Kegagalan Merupakan Kejayaan

RINGKASAN:

Pelajaran ini bersekitar mengenai sebuah filem pendek perihal seekor kuda lumba yang bernama Haru Urara yang menjadi inspirasi kepada ramai orang walaupun ianya bukannya seekor kuda yang cemerlang.

Pelajar: Menengah atas
Masa: 60 minit
Aktiviti: Menonton filem pendek, memberikan pendapat dan mengubah persepsi
Topik: Haru Urara: Bila Kegagalan Merupakan Kejayaan
Bahasa: Kosa kata berkait dengan topik
Bahan: Filem pendek

LANGKAH PERTAMA:

Guru minta pelajar memikirkan soalan-soalan berikut:

Bayangkan kamu sedang berada di dewan sekolah menantikan giliran untuk menerima keputusan peperiksaan nasional (peringkat N ataupun O).

Apakah keputusan bagi kamu merupakan satu kejayaan?

Bagaimana kamu mengukur kejayaan ini? Adakah keputusan peperiksaan kamu satu-satunya kayu pengukur yang kamu gunakan?

Sebagai contoh,
(a) berapa banyak subjek yang kamu telah lulus?
(b) berapa banyak pula subjek yang kamu dapat kepujian?
(c) apakah agregat ELR5 atau ELR2B2 kamu? dan
(d) apakah kursus yang kamu perolehi di maktab rendah atau di politeknik?

Bayangkan pula soalan ini:

Apakah pula bagi kamu satu kegagalan?

Bagaimana pula kamu mengukur kegagalan ini? Apakah kayu pengukur yang kamu gunakan?

Guru berikan pelajar ruang dan masa untuk memikirkan jawapan bagi soalan-soalan berikut. Guru boleh meminta pelajar berkongsi dengan rakan di sebelah (pair-and-share) sebelum menjemput beberapa orang pelajar untuk berkongsi secara terbuka (Round Robin) dan meminta maklum balas daripada yang lain.

LANGKAH KEDUA

Guru bertanyakan pelajar soalan-soalan rhetorik berikut:
(Soalan rhetorik merupakan soalan yang tidak perlu dijawab pelajar tetapi menyebabkan mereka berfikir.)

Perlukah kita hidup berpandukan dengan kejayaan dan kegagalan?

Bolehkah kehidupan ini diisi dengan kejayaan sahaja?

Bilakah kegagalan boleh dianggap sebagai kejayaan?

Bilakan kejayaan boleh dianggap sebagai kegagalan?

Bilakah pula kegagalan merupakan kegagalan yang sebenarnya?

Guru berikan pelajar ruang and masa untuk memikirkan soalan-soalan rhetorik di atas dan jika perlu, guru boleh menjelaskan lebih lanjut maksud soalan tanpa perlu pelajar menjawabnya secara terbuka.

LANGKAH KETIGA

Guru meminta pelajar terus memikirkan soalan-soalan rhetorik yang telah diberikan sambil menonton filem pendek Haru Urara yang akan dimainkan.

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah filem pendek perihal seekor kuda lumba yang bernama Haru Urara yang menjadi inspirasi kepada ramai orang walaupun ianya bukannya seekor kuda yang cemerlang.

LANGKAH KEEMPAT

Guru memberikan pelajar post-it pad setiap seorang dan meminta pelajar memberikan respons kepada kedua-dua soalan berikut:

Bagaimanakan pandangan pelajar mengenai kejayaan dan kegagalan berubah setelah menonton filem Haru Urara?

Apakah SATU perkara yang ingin pelajar lakukan setelah menonton filem pendek ini?

LANGKAH KELIMA

Guru mengumpulkan post-it pad pelajar dan memilih beberapa repons yang menarik untuk ditayangkan pada vizualizer untuk tontonan dan maklum balas pelajar lain. Sesi ini boleh mengundang pelajar untuk berkongsi bagaimana persepsi mereka tentang apakah itu kejayaan dan kegagalan telah berubah.

SEMOGA PELAJAR CIKGU SERONOK MENGIKUTI PELAJARAN INI.

[Topik Lisan] Kelebihan Hobi: Meneroka kemahiran baru, Membina masa depan

Kelebihan Hobi: Meneroka Kemahiran Baru, Membina Masa Depan

RINGKASAN:

Pelajaran ini bersekitar mengenai dua buah filem.  Pertama adalah sebuah rencana BBC bertajuk Living Online yang mengisahkan tentang hobi unik seorang remaja yang bernama Zev Hoover.  Kedua adalah sebuah dokumentari pendek bertajuk Moving Windmills juga mengenai seorang remaja bernama William Kamkwamba yang menjadikan minatnya mencipta sesuatu membawa perubahan kepada kehidupannya serta keluarganya.

Pelajar: Menengah atas
Masa: 60 minit
Aktiviti: Menonton sebuah rencana serta dokumentari pendek, dan bertutur
Topik: Kelebihan Hobi: Meneroka Kemahiran Baru, Membina Masa Depan
Bahasa: Kosa kata berkait dengan topik
Bahan: Rencana dan dokumentari pendek

LANGKAH PERTAMA:

Guru melukiskan sebuah bulatan pada bahagian tengah papan tulis dan menulis perkataan HOBI dalam bulatan tersebut. Kemudian, guru menjemput setiap pelajar untuk tampil ke hadapan untuk membina peta minda berpusatkan bulatan dan perkataan HOBI pada papan tulis tersebut.

Untuk membantu pelajar, guru boleh tuliskan soalan-soalan berikut pada satu sudut papan tulis:

Berikan satu hobi yang kamu minati?
Apakah kelebihan hobi ini?

Jika terdapat dua orang pelajar berkongsi hobi yang sama, mereka diminta memberikan kelebihan hobi tersebut yang berbeza.

LANGKAH KEDUA:

Guru memilih 1-2 hobi yang menarik (dan unik, jika ada) daripada peta minda tersebut dan menjemput pelajar berkenaan untuk berkongsi dengan lebih mendalam lagi.  Guru boleh menggunakan soalan-soalan berikut sebagai panduan.

Ceritakan bagaimana kamu terdorong untuk memulakan hobi ini?
Apakah kemahiran-kemahiran baru yang telah kamu perolehi melalui hobi ini?
Apakah rancangan masa depan kamu terhadap hobi ini? (Adakah kamu akan meneruskannya? Jika ya, apakah perubahan yang akan kamu lakukan? Jika tidak, mengapa?)

Guru tekankan kepada pelajar bahawa jika seseorang itu tekun dalam hobinya, dia berpeluang meneroka kemahiran baru dan berkemungkinan membawanya kepada masa depan yang lebih baik.

LANGKAH KETIGA:

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah rencana BBC bertajuk Living Online yang mengisahkan tentang hobi unik seorang remaja yang bernama Zev Hoover.  Berkat ketekunannya, remaja ini bukan sahaja telah meneroka kemahiran baru, malah membina peluang baik untuk masa depannya.

Mainkan rencana tersebut hingga selesai.

LANGKAH KEEMPAT:

Secara berpasangan, pelajar bekerjasama untuk menjawab soalan-soalan berikut:

Apakah kemahiran-kemahiran baru yang telah diperolehi oleh Zev Hoover melalui hobinya?
Menurut kamu, apakah peluang-peluang baik yang bakal beliau kecapi pada masa hadapan?

Jemput beberapa wakil kumpulan untuk berkongsi jawapan mereka di hadapan kelas.

Sekarang, guru minta setiap pasangan untuk merenung kembali hobi mereka.  Tanya pelajar soalan berikut:

Apakah peluang-peluang baik yang bakal kamu raih pada masa hadapan jika kamu tekun dalam hobi kamu?

Jemput beberapa wakil kumpulan untuk berkongsi jawapan mereka di hadapan kelas.

LANGKAH KELIMA:

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah dokumentari pendek bertajuk Moving Windmills. Dokumentari ini juga mengisahkan tentang seorang remaja yang menjadikan minatnya mencipta sesuatu membawa perubahan kepada kehidupannya serta keluarganya.

Berbekalkan hanya dengan tajuk dokumentari tersebut, jemput pelajar untuk bayangkan:

Apakah hobi remaja ini?
Apakah perubahan yang telah dia bawa kepada kehidupannya serta keluarganya melalui hobinya itu?

Jemput setiap pelajar untuk memberikan jawapan mereka.

LANGKAH KEENAM:

Mainkan dokumentari tersebut hingga selesai.

Setelah pelajar selesai menonton dokumentari tersebut, guru tanya pelajar soalan-soalan berikut:

Apakah perasaan kamu setelah menonton dokumentari berikut?
Kenapakah kamu berperasaan demikian?

Setelah memberikan pelajar beberapa ketika untuk berfikir, guru menjemput mereka untuk berkongsi jawapan mereka.

LANGKAH KETUJUH:

Guru meminta setiap pelajar untuk memikirkan suatu perkataan atau frasa sebagai kekunci kata (keywords) yang sesuai berdasarkan dokumentari Moving Windmills.

Pelajar dijemput untuk menyenaraikan jawapan mereka di papan tulis.

Guru minta pelajar memilih beberapa kekunci kata yang tertera di papan tulis dan mengembangkannya menjadi sebuah puisi yang sesuai dengan tema dokumentari tersebut.

Apakah itu puisi?
Puisi merupakan ungkapan perasaan atau fikiran penulis (pelajar) tentang sesuatu hal.  Ia terdiri daripada beberapa baris yang dibentuk dengan kata-kata yang indah. Kata-kata yang digunakan bersifat padat makna dan menarik.  Sila lihat contoh di bawah:

Mawarku
Kala mentari muncul di ufuk timur
Saat embun mulai menetes
Kau tebarkan harum di hatiku
Memulai pagi dengan senyuman

Mawarku,ku ingin kau terus tumbuh
Mengiringi langkah kakiku
Menyapa hari-hariku
Mawarku,tak seorang pun kan memetikmu

Sumber daripada Internet

LANGKAH KELAPAN:

Pelajar diminta untuk menulis pusi mereka dalam setiap ruang pada daun-daun kincir angin (windmill) dalam gambar di bawah untuk menghasilkan puisi berbentuk kincir angin.

SEMOGA PELAJAR CIKGU SERONOK MENGIKUTI PELAJARAN INI.

[Topik Lisan] Bersatu Kita Kukuh, Bercerai Kita Roboh: Pentingnya keharmonian kaum

Bersatu Kita Kukuh, Bercerai Kita Roboh: Pentingnya keharmonian kaum

RINGKASAN:

Pelajaran ini bersekitar mengenai sebuah tiga buah bahan filem.  Filem pertama merupakan iklan hari raya daripada Petronas yang mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan kaum, sementara filem kedua mengetengahkan pengalaman sebuah sekolah menganjurkan aktiviti-aktiviti sempena sambutan hari keharmonian kaum.  Filem ini dihasilkan oleh Kementerian Pendidikan Singapura (MOE).  Akhir sekali, filem ketiga juga merupakan sebuah iklan Petronas yang mengingatkan kita bahawa sesuatu ketika dahulu (semasa kita kecil) kita semua buta warna kulit (racially blind).

Pelajar: Menengah atas
Masa: 90 minit
Aktiviti: Menonton tiga buah bahan filem, dan bertutur
Topik: Bersatu Kita Kukuh, Bercerai Kita Roboh: Pentingnya Keharmonian Kaum
Bahasa: Kosa kata berkait dengan topik
Bahan: Iklan dan filem pendek

LANGKAH PERTAMA:

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah iklan.

Mainkan iklan Petronas hingga selesai.

Guru menanyakan pelajar soalan berikut:

Apakah perasaan kamu ketika menonton filem ini?

Guru menulis jawapan pelajar di papan tulis.  Jawapan pelajar mungkin menjerumus kepada yang berikut: cemas, khuatir, takut, dan lain-lain yang sesuai

LANGKAH KEDUA:

Guru tekankan daripada jawapan pelajar bahawa pastinya telah berlaku sesuatu yang mencemaskan keluarga Cina itu.  Guru mencungkil pengetahuan sedia ada pelajar dengan menanyakan mereka soalan-soalan berikut:

Apakah kontek iklan ini?
(Sebagai contoh, bilakah ia berlaku? Apakah peristiwa penting dalam sejarah yang berlaku ketika itu? Bagaimana peristiwa itu boleh berlaku? Apakah kesudahan peristiwa itu?)

Apakah mesej yang hendak disampaikan melalui iklan ini?

LANGKAH KETIGA:

Guru meminta pelajar untuk menulis sebuah perenggan (sekurang-kurangnya 100 ayat) untuk mengambarkan peristiwa yang mencemaskan itu dengan menyambung ayat-ayat berikut:

Laporan berita di televisyen diselang-seli dengan gambar-gambar yang menyayat hati.  Aku dapat lihat . . .  Bulu romaku tegak berdiri apabila tersentuh . . .  Seolah-olah aku dapat menghidu . . .  Aku dapat mendengar . . .  Dapat aku rasakan . . .

Guru menggalakkan pelajar menggunakan pancaindera mereka dan frasa-frasa adjektif untuk menimbulkan suasana cemas itu dalam penulisan mereka.

LANGKAH KEEMPAT:

Guru meminta pelajar untuk duduk dalam kumpulan seramai tiga orang dan mereka harus membaca penulisan setiap ahli kumpulan mereka.  Mereka kemudian perlu memilih penulisan terbaik kumpulan mereka.

Guru menjemput beberapa kumpulan berkongsi penulisan terbaik mereka di hadapan kelas (dengan membaca atau menulisnya di papan tulis).

LANGKAH KELIMA:

Guru meminta pelajar gambarkan apa yang akan berlaku kepada keluarga Cina itu jika jiran mereka tidak menawarkan pertolongan.  Minta jawapan spontan pelajar.

Guru menekankan peri pentingnya untuk kita menjaga keharmonian kaum di Singapura.

LANGKAH KEENAM:

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah filem pendek.

Mainkan filem pendek MOE hingga selesai.

LANGKAH KETUJUH:

Guru mengalakkan pelajar mengingat kembali sambutan hari kerharmonian kaum di sekolah mereka dengan menanyakan mereka soalan-soalan berikut:

Apakah persamaan dan perbezaan cara hari keharmonian kaum disambut di sekolah kamu berbanding dengan sekolah di dalam filem ini?

 Apakah aktiviti-aktiviti yang kamu suka pada acara itu? Mengapa?

Apa yang telah kamu pelajari daripada aktiviti-aktiviti tersebut?

Guru minta pelajar untuk berkongsi dengan teman mereka dalam kumpulan sebelum menjemput setiap kumpulan untuk menjawab satu daripada ketiga-tiga soalan di atas.

LANGKAH KELAPAN:

Guru menulis pernyataan ini di papan tulis:

Keharmonian kaum hanya boleh dicapai jika kita semua buta warna kulit (racially blind).

Untuk menerangkan kepada pelajar apakah yang dimaksudkan oleh buta warna kulit, mainkan iklan Petronas berikut.

Guru membahagikan kelas kepada dua kumpulan samada setuju atau tidak setuju dengan pernyataan di atas.

Guru mengusahakan satu perdebatan singkat antara dua kumpulan tersebut dengan meminta setiap ahli kumpulan memberikan pendapat mereka secara berselang-seli antara di antara kedua-dua kumpulan.  Dalam memberikan pendapat, mereka juga boleh memberikan respons kepada pendapat kumpulan lawan.

SEMOGA PELAJAR CIKGU SERONOK MENGIKUTI PELAJARAN INI.

[Topik Lisan] Menilai Diri: Bagaimana kita mentakrifkan diri kita?

Menilai Diri: Bagaimana kita mentakrifkan diri kita?

RINGKASAN:

Pelajaran ini bersekitar mengenai dua buah filem.  Pertama adalah sebuah iklan bagi kempen anti-buli bertajuk Share It To End It oleh The Coalition Against Bullying for Children and Youth (CABCY).  Kedua adalah sebuah ceramah bertajuk How Do You Define Yourself oleh Lizzie Velasquez yang disiarkan di TED mengenai bagaimana beliau mengatasi cabaran sebagai seorang mangsa buli.

Pelajar: Menengah bawah
Masa: 60 minit
Aktiviti: Menonton sebuah iklan serta ceramah, dan bertutur
Topik: Menilai Diri: Bagaimana kita mentakrifkan diri kita?
Bahasa: Kosa kata berkait dengan topik
Bahan: Iklan dan ceramah

LANGKAH PERTAMA:

Tuliskan perkataan BULI pada papan tulis dan berikan pelajar masa untuk memikirkan satu perkataan atau frasa yang mereka kaitkan dengan BULI.

Minta setiap pelajar untuk menulis perkataan/frasa mereka di papan tulis.

Guru cuba mengkategorikan senarai perkataan/frasa pelajar kepada beberapa kategori (kalau boleh) dan memberikan penekanan bahawa membuli hanya mendatangkan kesan buruk kepada mangsa.

LANGKAH KEDUA:

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah iklan bagi kempen anti-buli bertajuk Share It To End It oleh The Coalition Against Bullying for Children and Youth (CABCY).

Mainkan iklan tersebut hingga selesai.

Di akhir iklan, minta pelajar berkongsi secara berpasangan pengalaman mereka dibuli atau pengalaman orang lain yang mereka kenal dibuli.

Di akhir perkongsian pelajar tanya mereka apakah kesan-kesan negatif yang boleh atau telah berlaku kepada si mangsa.

Guru senaraikan jawapan pelajar di papan tulis.

Minta pelajar fikirkan apa yang boleh mangsa lakukan untuk mengatasi kesan-kesan negatif yang tersenarai pada papan tulis.  Pelajar tidak perlu memberikan jawapan mereka pada ketika ini.

LANGKAH KETIGA:

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah ceramah bertajuk How Do You Define Yourself oleh Lizzie Velasquez yang disiarkan di TED mengenai bagaimana beliau mengatasi cabaran sebagai seorang mangsa buli.

Mainkan ceramah itu hingga ke minit 2.33 dan tanyakan pelajar soalan berikut.

Apakah masalah kesihatan yang dihadapi oleh Lizzie?

Lizzie mempunyai penyakit genetik di mana badannya tidak berupaya untuk menyimpan lemak.  Berat badan Lizzie adalah 64 paun (tidak sampai 30 kilogram) dan pastinya tidak wajar dengan usia dan ketinggiannya.  Oleh kerana ketidakupayaan badannya untuk menyimpan lemak, wajah dan bentuk badannya tidak serupa seperti orang lain yang sihat.  Wajahnya seperti orang tua.  Selain daripada itu, Lizzie juga buta pada mata kanannya.

LANGKAH KEEMPAT:

Sambung memainkan ceramah itu hingga ke minit 10.00 dan tanyakan pelajar soalan berikut.

Apakah cabaran yang dihadapi oleh Lizzie akibat masalah kesihatannya?

Lizzie berkongsi tentang masalahnya ketika di tadika dan di sekolah menengah.

LANGKAH KELIMA:

Sambung memainkan ceramah itu hingga akhir dan tuliskan dua kekata ini – SUPPORT STRUCTURE dan WHAT DEFINE YOU.

Berikan pelajar masa sejenak untuk memikirkan satu perkataan/frasa untuk setiap kekata yang ada di papan tulis.  Perkataan/frasa pelajar harus ditukil daripada ceramah yang telah mereka tonton.

Minta setiap pelajar untuk menulis perkataan/frasa mereka di papan tulis.

LANGKAH KEENAM:

Hasil daripada perkongsian pelajar dalam LANGKAH KEDUA, minta pelajar menulis sebuah refleksi bagaimana mereka (jika mereka mangsa buli) atau teman mereka (yang menjadi mangsa buli) boleh lakukan untuk mengatasi kesan-kesan negatif akibat dibuli.  Ingatkan pelajar untuk menggunakan senarai perkataan/frasa pelajar yang tertera di papan tulis daripada aktiviti LANGKAH KELIMA semasa menulis refleksi mereka.

SEMOGA PELAJAR CIKGU SERONOK MENGIKUTI PELAJARAN INI.

[Topik Lisan] Pengorbanan Yang Tidak Mengenal Sempadan: Kasih sayang ibu bapa

Pengorbanan Yang Tidak Mengenal Sempadan: Kasih sayang ibu bapa

RINGKASAN:

Pelajaran ini bersekitar mengenai sebuah filem pendek yang bertajuk The Prodigal oleh The Jubilee Project, dan sebuah iklan yang bertajuk Silence of Love daripada Thai Life Insurance. Kedua-duanya menonjolkan pengorbanan seorang ayah tunggal untuk anaknya.

Pelajar: Menengah bawah
Masa: 60 minit
Aktiviti: Menonton filem pendek, iklan dan bertutur
Topik: Pengorbanan Yang Tidak Mengenal Sempadan: Kasih sayang ibu bapa
Bahasa: Kosa kata berkait dengan topik
Bahan: Filem pendek dan iklan

LANGKAH PERTAMA:

Guru minta pelajar memikirkan soalan-soalan di bawah.

Apakah suatu kejadian yang tidak dapat kamu lupakan di mana ibu atau bapa kamu terpaksa menghadapi masalah untuk memberikan kamu suatu kebaikan?

Apakah pertimbangan-pertimbangan yang mendorong mereka berkorban untuk kamu?

Kemudian, guru minta pelajar menceritakan kejadian tersebut dengan menuliskan jawapan untuk soalan-soalan di atas ke dalam satu perenggan tidak kurang daripada 100 patah perkataan.

LANGKAH KEDUA:

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah filem pendek bertajuk The Prodigal oleh The Jubilee Project yang menonjolkan pengorbanan seorang ayah tunggal untuk anaknya.

Mainkan filem tersebut hingga ke minit 2.08 sebelum menanyakan pelajar soalan berikut:

Apakah yang akan berlaku seterusnya?

Minta pelajar untuk berkongsi dengan rakan di sebelah mereka.

LANGKAH KETIGA:

Sambung memainkan filem tersebut sebelum berhenti lagi pada minit 4.52. Kemudian, tanya pelajar soalan berikut:

Apakah kesudahan cerita ini?

LANGKAH KEEMPAT:

Sambung mainkan filem tersebut hingga selesai. Kemudian, tanyakan pelajar soalan berikut:

Apakah yang terjadi pada Si Ayah akhirnya?

Apakah pertimbangan Si Ayah apabila dia mengambil keputusan berkorban untuk anaknya?

LANGKAH KELIMA:

Berdasarkan pengorbanan Si Ayah dalam filem tersebut, berikan pelajar beberapa metafora untuk menceritakan tentang Si Ayah. Di bawah adalah beberapa contoh metafora yang boleh dipilih pelajar.

Pohon yang rendang

Lautan luas

Matahari

Sofa yang empuk

Pelangi

Baju sejuk

Kereta BMW

Pelajar boleh menggunakan contoh-contoh metafora yang diberikan atau memikirkan metafora mereka sendiri. Kemudian, guru minta pelajar untuk selesaikan  ayat berikut sehingga menjadi beberapa ayat dalam satu perenggan tidak kurang daripada 100 patah perkataan.

Si Ayah adalah seperti ___________________. Ini kerana . . .

LANGKAH KEENAM:

Guru menjemput pelajar untuk berkongsi penulisan mereka dengan kumpulan seramai tiga hingga empat orang pelajar. Setiap kumpulan akan memilih penulisan yang terbaik untuk mewakili kumpulan mereka. Guru kemudiannya akan meminta wakil kumpulan untuk membacakan penulisan terbaik kumpulan mereka. Di akhir setiap penyampaian, guru menjemput komen daripada kumpulan lain.

LANGKAH KETUJUH:

Beritahu pelajar yang mereka akan menonton sebuah iklan  bertajuk Silence of Love daripada Thai Life Insurance yang juga menonjolkan pengorbanan seorang ayah tunggal untuk anaknya. Mainkan iklan tersebut hingga selesai.

Biasanya pelajar akan menangis setelah menyaksikan iklan tersebut. Jadi, guru perlu memberikan pelajar sedikit waktu untuk kembali tenang. Kemudian, minta pelajar untuk membayangkan sejenak pengorbanan ibu bapa mereka ke atas diri mereka.

LANGKAH KELAPAN:

Guru minta pelajar untuk menulis sebuah sajak pendek untuk ibu atau ayah mereka demi untuk mengenangkan pengorbanan mereka.

Guru boleh mengalakkan pelajar mengunnakan kemahiran menggunakan metafora yang baru mereka pelajari untuk melengkapkan sajak di bawah:

Ibu (atau Ayah)

Dikau adalah seumpama bintang utara
Yang membimbing aku ketika aku perlukan panduan

Dikau adalah seumpama hujan
Yang menyirami aku dengan ilmu pengetahuan

Dikau adalah seumpama ___________________.
Yang . . .

Dikau adalah seumpama ___________________.
Yang . . .

Dikau adalah seumpama ___________________.
Yang . . .

Dikau adalah seumpama ___________________.
Yang . . .

Dikau adalah seumpama ___________________.
Yang . . .

Siapalah aku tanpamu di sisiku.
Terimakasih kasih di atas segala pengorbananmu ke atasku.

(Nama Pelajar)

Galakkan pelajar untuk menuliskan sajak mereka yang lengkap (dan sudah disemak guru) pada kertas berwarna dan berikannya kepada ibu atau ayah mereka sebagai hadiah.

SEMOGA PELAJAR CIKGU SERONOK MENGIKUTI PELAJARAN INI.